"Nabi SAW telah bersabda: Sesungguhnya di dalam tubuh (manusia) ada
seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah seluruh tubuhnya,
dan jika rosak daging itu maka rosaklah seluruh tubuhnya
dan ketahuilah bahawa itu adalah hati."
[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]
Saya yakin dan percaya kita selalu sahaja mendengar hadis mengenai hati
ini. Kita memang sudah sedia maklum bahawa hatilah yang menggerakkan
setiap anggota tubuh kita. Setiap apa yang terlintas di hati, itulah
yang akan tubuh kita refleksikan.
Jika hati kita hidup, maka amat senang bagi kita untuk menerima
kebaikan. Namun sebaliknya akan berlaku jika hati kita tidak hidup, maka
amat sulit untuk kita menerima kebaikan.
Terkadang kita melalui fasa-fasa futur dalam diri bukan? Itulah tandanya
hati kita tidak sihat. Di kala ini amat mudahlah untuk syaitan
membisikkan perkara-perkara yang tidak baik ke dalam diri kita. Dan amat
senanglah bagi kita untuk terpengaruh dengan hasutan syaitan itu pada
saat itu.
Untuk itu, kita memerlukan tazkiyatun nafs ini. Kita perlu sentiasa
menyucikan jiwa kita ini agar hati kita sentiasa hidup dan sihat. Supaya
kita sentiasa dapat melakukan kebaikan.
Tazkiyatun nafs ini merupakan misi para rasul. Marilah sama-sama kita perhatikan doa yang Nabi Ibrahim titipkan ini.
"Ya Tuhan kami, utuslah di tengah mereka seorang rasul dari kalangan
mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat-MU dan
mengajarkan kitab dan hikmah kepada mereka dan menyucikan mereka.
Sungguh, ENGKAUlah Yang Maha Perkasa Maha Bijaksana."
[Al-Baqarah, 2:129]
Dari sini kita boleh lihat bahawa Nabi Ibrahim berdoa kepada ALLAH
memohon untuk diutuskan para rasul kepada setiap umat untuk melaksanakan
3 perkara:
1. Tazkir (Membacakan dan mengingatkan ayat-ayat ALLAH)
2. Ta'alim (Mengajarkan)
3. Tazkiyah (Menyucikan)
1. Solat
- Solat merupakan amalan pertama yang akan dihisab oleh ALLAH di akhirat
kelak. Untuk itu kita perlu menjaga solat kita agar ia diterima oleh
ALLAH.
- Solat itu bukanlah dilaksanakan tetapi didirikan.
- Kita perlu menghayati setiap perbuatan kita sewaktu mendirikan solat demi untuk mendapatkan kekhusyukan hati.
- "Al awwal 'ilm yarfu' minal ardh al khusyuk." (Ilmu yang pertama yang diambil dari dunia itu ialah khusyuk.)
- Bersamalah kita berusaha memperbaiki mutu solat kita supaya kita mendapat khusyuk di dalam solat.
2. Saum (Puasa)
- Kita boleh membelenggu hawa nafsu kita dengan berpuasa.
- Hati kita akan terjaga, kemaluan kita akan terpelihara dan mulut kita
juga akan kita hindarkan dari mengucapkan perkara yang sia-sia saat
berpuasa.
- Semoga dengan mengamalkan puasa sunat Isnin-Khamis, puasa sunat pada
hari putih (13,14,15) pada setiap bulan, kita dapat menyucikan jiwa dan
mendidik hati kita ke arah kebaikan.
3. Zakat dan Infak
- Kita perlu ingat dan perlu tahu bahawa setiap harta milik kita ini
bukanlah milik kita sebenarnya melainkan milik ALLAH yang hanya
dipinjamkan buat kita.
- Untuk itu, tempat untuk kita menyimpan harta kita ini ialah kepada
ALLAH. Bagaimana? Dengan mengeluarkan zakat dan berinfak serta
bersedekah.
- Hati-hati kita akan dapat disucikan apabila kita berzakat dan berinfak.
- Amalan zakat dan infak ini juga akan menjauhkan kita daripada sifat kikir dan kedekut.
4. Haji dan Umrah
- Saya yakin dan percaya, setiap dari kita mempunyai impian dan keinginan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah.
- Persiapkanlah diri kita sebaiknya untuk menunaikan haji dan umrah ini.
- Saat di sana nanti, jagalah solat awal waktu kita dan amalkanlah setiap doa yang telah dihafal.
5. Bermuhasabah
- Memetik kata-kata Saidina Umar Al-Khattab, "Hisablah dirimu sebelum
kamu dihisabkan. Timbanglah amalanmu sebelum amalan kamu ditimbangkan."
- Muhasabah ini penting untuk kita menilai balik baik buruk setiap apa yang akan dan telah kita lakukan.
- Muhasabah itu perlu dibuat sebelum dan sesudah kita melakukan sesuatu perkara.
- Jangan pula dilupa untuk sentiasa memperbaharui niat kita agar setiap
kebaikan yang kita lakukan itu tidak terpesong tujuannya. Niatlah di
awal, di pertengahan dan di akhir perbuatan kita. Semoga kebaikan yang
kita buat itu diterima ALLAH. Insyaa-ALLAH.
- Muhasabah ini luar biasa sekali kesannya kepada kita. Cuba dan amalkanlah, anda pasti akan merasainya. Insyaa-ALLAH.
6. Zikir dan Fikir
- "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian
siang dan malam terdapat tanda-tanda (kebesaran ALLAH) bagi orang-orang
yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingat ALLAH sambil berdiri,
duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang
penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), "Ya Tuhan kami, tidaklah
ENGKAU menciptakan semua ini sia-sia; Maha Suci ENGKAU, lindungilah kami
dari azab neraka."
[Ali Imran, 3:190-191]
- Berfikir dan bertafakur ini mampu menyucikan hati-hati kita.
- Kita boleh telusuri kisah Nabi Ibrahim yang merenungkan keindahan dan
kejadian alam ini untuk mencari siapakah penciptanya. Betapa sikap
kritis Nabi Ibrahim yang memikirkan kejadian alam ini perlu kita
contohi.
- Berfikir tentang sakaratul maut dan kehidupan selepas mati juga boleh menyucikan hati kita.
7. Membaca Al-Quran
- Kita boleh membersihkan dan menyucikan hati dengan membaca ayat-ayat cinta ALLAH ini.
- "Sesungguhnya
orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama ALLAH
gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayat-NYA kepada mereka,
bertambah (kuat) imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakal,"
[Al-Anfal, 8:2]
- Bacalah al-Quran dengan hati.
- Bacalah maksudnya sekali untuk lebih memahami dan menghayati setiap maknanya.
8. Zikrul Maut (Mengingati Mati)
- Ingatlah bahawa apabila kita meninggal, apa yang kita akan bawa
hanyalah amalan kebaikan sahaja. Segala yang lain akan kita tinggalkan.
- Biasakan diri untuk mengingati mati saat sebelum tidur dan saat bangun dari tidur.
- Hayatilah setiap bait doa sebelum tidur dan doa selepas tidur itu.
Cara untuk mengekalkan diri dalam penyucian jiwa
1. Muraqabatullah - Sentiasa merasakan bahawa setiap saat, setiap perbuatan kita, ALLAH sentiasa memerhatikan kita.
2. Muahadah - Memberikan sepenuh komitmen dan berazam dengan setiap kebaikan yang kita lakukan.
3. Muhasabah - Evaluasi diri kita dengan setiap amalan yang kita lakukan.
4. Mu'aqabah - Menghukum diri kita saat kita meninggalkan amalan
kebaikan. Contohnya, mendenda diri kita solat Dhuha 12 rakaat jika
tertinggal tahajud.
5. Mujahadah - Bersungguh-sungguh dengan setiap amalan kebaikan yang kita lakukan.
Perkongsian ini untuk diri saya sendiri juga sebenarnya. Bersama-samalah
kita menerapkan tazkiyatun nafs dalam diri. Bersama kita menyucikan
diri ke arah menjadi individu muslim yang soleh dan musleh.
Insyaa-ALLAH.
Semoga bermanfaat. Semoga ALLAH redha dengan setiap perbuatan kita. Ameen. Insyaa-ALLAH.
Sumber : http://aim4daendlessliving.blogspot.my/2012/12/tazkiyatun-nafs-penyucian-jiwa.html
No comments:
Post a Comment