Daripada Abu Sa’id Al-Khudhri R.A, Rasulullah S.A.W
pernah bersabda bahawa di kalangan orang terdahulu ada seorang lelaki yang
telah membunuh 99 nyawa, lalu dia mencari orang yang banyak ilmunya.
Maka, dia ditunjukkan kepada seorang rahib, lalu
dia pergi menemuinya. Kemudian, dia mengatakan bahawa dia telah membunuh 99
nyawa, adakah taubatnya akan diterima? Kemudian rahib tersebut menjawab, tidak.
Maka, dia membunuh rahib tersebut dan genaplah 100 orang (yang dibunuhnya)
dengan pembunuhan rahib tersebut.
Kemudian dia mencari lagi orang yang banyak
ilmunya, maka dia ditunjukkan kepada seorang pemuda alim. Maka, dia mengatakan
bahawa dia telah membunuh 100 nyawa, adakah taubatnya akan diterima? Pemuda
alim itu menjawab, ya. Dan siapakah yang menghalang antaranya dan taubat?
“Pergilah ke daerah ini dan ini, kerana di sana
ramai orang beribadah kepada Allah Azza wa Jalla. Beribadahlah kepada Allah
bersama mereka. Dan janganlah pulang ke daerahmu, kerana sesungguhnya daerahmu
itu daerah yang jelek.”
Maka, dia pergi (menuju daerah tersebut) sehingga
sampai di pertengahan jalan, kematian mendatanginya.
Maka, berbantahanlah malaikat rahmat dan malaikat
azab. Berkata malaikat rahmat, “Dia pergi dengan (niat) bertaubat menghadap
Allah sepenuh hati.” Dan berkata pula malaikat azab, ”Dia ini tidak pernah
melakukan kebaikan sama sekali.”
Kemudian datanglah kepada mereka satu malaikat lain
dalam rupa bentuk seorang manusia, lalu mereka meminta keputusan kepadanya. Dia
(malaikat ketiga) berkata, ”Ukurlah jarak antara 2 daerah tersebut (tempat
berangkatnya dan tempat tujuannya). Jarak mana yang lebih dekat antara
kedua-duanya, maka itulah keputusannya.” Maka, mereka mengukur dan mendapati
bahawa jarak yang lebih dekat adalah jarak yang ditujuinya, maka dia berada
dalam genggaman malaikat rahmat.
Dan dalam satu riwayat dalam As-Sahih (disebutkan),
“Maka dia lebih dekat kepada daerah yang salih dengan hanya satu jengkal. Maka,
dia dijadikan sebagai salah satu ahlinya.” Juga dalam riwayat As-Sahih
(disebutkan), “Maka, Allah mewahyukan kepada daerah ini (tempat berangkatnya)
supaya menjauhi, dan kepada daerah ini (tempat tujuannya) supaya mendekati. Dan
Dia berkata, ‘Ukurlah jarak antara kedua-duanya.’ Lalu mereka mendapati bahawa
dia lebih dekat dengan daerah ini (daerah yang salih) dengan satu jengkal.
Maka, dia diampuni.”
Sumber utama: 1. Shahih Al-Bukhari 2. Shahih Muslim
3. Riyadhush Shalihin
Kisah sahih ini mempunyai suatu nilai motivasi yang
cukup tinggi buat kita semua, yang sememangnya tidak bisa melepaskan diri
daripada dosa-dosa dalam menjalani kehidupan seharian kita. Sebagaimana yang
dapat kita saksikan dalam kisah tersebut, walaupun lelaki itu telah membunuh
100 nyawa, tetapi akhirnya tetap mendapatkan kesudahan yang baik, atas rahmat
Allah yang begitu luas. Tiadalah layak segala pujian dan segala kesyukuran
kecuali hanya kepada Allah.
Berbicara tentang maghfirah Allah, begitu banyak
dalil Al-Qur’an mahupun Al-Hadits yang menceritakan tentang hal tersebut. Ini
menunjukkan bahawa Allah tidak pernah sesekali jemu memberikan keampunan kepada
hamba-hamba-Nya.
Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Umar ibn
Al-Khaththab R.A, Rasulullah S.A.W bersabda, “Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla
menerima taubat seorang hamba selama ruhnya belum sampai di kerongkongnya.” [HR
At-Tirmidzi, dan dia berkata: hadits hasan].
Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W
bersabda, “Barang siapa bertaubat sebelum terbitnya matahari daripada tempat
terbenamnya (yakni dari arah barat), Allah menerima taubatnya.” [HR Muslim].
Daripada Abu Dzar R.A, Rasulullah S.A.W bersabda,
“Allah ‘Azza wa Jalla berkata. ‘Barang siapa datang dengan membawa satu
kebaikan, maka baginya sepuluh kali gandanya atau lebih. Barang siapa datang
dengan membawa kejelekan, maka baginya kejelekan sepertinya atau Aku ampunkan.
Dan barang siapa mendekatiKu sejengkal, Aku dekatinya sehasta. Dan, barang
siapa mendekatiKu sehasta, Aku dekatinya sedepa. Barang siapa mendatangi dengan
berjalan, Aku datanginya dengan berlari. Barang siapa menemuiKu dengan
kesalahan sebesar bumi, sedangkan dia tidak menyekutukanKu dengan apa pun, Aku
menemuinya dengan ampunan yang sepertinya (seperti ukuran dosa hamba
tersebut)’.” [HR Muslim].
Hadits pertama dan kedua menunjukkan bahawa pintu
rahmat itu sentiasa terbuka buat kita, selagi nyawa masih dikandung badan.
Hadits ketiga pula menunjukkan betapa besarnya rahmat dan maghfirah Allah untuk
kita semua.
Selain hadits ketiga ini, Imam Muslim bin Al-Hajjaj
juga telah mencantumkan satu hadits yang berbicara tentang hal yang sama dalam
kitab shahihnya (yakni kitab Shahih Muslim).
Hadits itu, yang pada awalnya membicarakan tentang peristiwa mi’raj Rasulullah, terkandung satu janji daripada Allah S.W.T, bahawa setiap amalan kebaikan yang diniatkan, namun tidak dilakukan, akan diberikan ganjaran satu kebaikan. Sekiranya amalan itu dilakukan, diberi 10 ganjaran kebaikan. Sedangkan bagi setiap amalan kejahatan yang diniatkan, sekiranya tidak dilakukan, tidak akan dicatatkan baginya dosa, namun sekiranya dilakukan, dicatatkan baginya satu dosa.
Hadits itu, yang pada awalnya membicarakan tentang peristiwa mi’raj Rasulullah, terkandung satu janji daripada Allah S.W.T, bahawa setiap amalan kebaikan yang diniatkan, namun tidak dilakukan, akan diberikan ganjaran satu kebaikan. Sekiranya amalan itu dilakukan, diberi 10 ganjaran kebaikan. Sedangkan bagi setiap amalan kejahatan yang diniatkan, sekiranya tidak dilakukan, tidak akan dicatatkan baginya dosa, namun sekiranya dilakukan, dicatatkan baginya satu dosa.
Tambahan kepada hadits ketiga, hadits mi’raj ini
membahas satu lagi bab penting, iaitu kehadiran niat dalam sesuatu perbuatan.
Ini selaras dengan hadits Rasulullah S.A.W bahawa setiap amalan itu tergantung
pada niatnya [HR Al-Bukhari dan Muslim].
Menghubungkan kehadiran niat dalam kisah lelaki
ini, ternyata niatnya yang ikhlas itu telah menjadi hujjah bagi malaikat
rahmat, sebagaimana kata-katanya, ”Dia pergi dengan (niat) bertaubat menghadap
Allah sepenuh hati.” Begitulah pentingnya peranan niat yang ikhlas dalam
kehidupan seseorang insan. Begitu juga dengan maghfirah Allah S.W.T. Seandainya
kita benar-benar ikhlas bertaubat kepadaNya, telah dijanjikan buat kita
keampunan sebesar mana sekali pun dosa kita. Sebagaimana kata-kata Harun Yahya
(Adnan Oktar atau Adnan Hoca) dalam dokumentarinya yang berjudul ’The Name of
Allah’, sekiranya Allah S.W.T itu tidak bersifat Maha Pengampun, pasti tiada
seorang pun antara kita yang bakal menjejakkan kaki ke syurgaNya.
Dalam hadits ketiga ini juga kita diperlihatkan
perbezaan antara seorang abid (ahli ibadah) dan seorang alim (orang yang
berilmu). Perbezaannya cukup jelas dalam memberikan jawapan kepada lelaki
tersebut. Jawapan orang alim tersebut ternyata lebih benar. Ini menunjukkan kelebihan
orang berilmu dibandingkan ahli ibadah.
Begitulah sedikit sebanyak pengajaran yang dapat
saya sebutkan mengenai kisah sahih ini. Diharapkan agar anda sanggup meluangkan
sedikit waktu untuk merenung kembali artikel di atas. Seandainya anda mendapati
bahawa pendapat saya di atas benar, maka ambillah pengajarannya. Sekiranya anda
mendapati pendapat saya menyalahi ajaran Islam yang sebenar, sejuta keampunan
saya pohonkan atas kejahilan saya.
Sekian sahaja dari saya. Wassalam…
No comments:
Post a Comment