Saturday, December 14, 2013

Kisah taubat seorang lelaki yang membunuh 100 orang


Daripada Abu Sa’id Al-Khudhri R.A, Rasulullah S.A.W pernah bersabda bahawa di kalangan orang terdahulu ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 nyawa, lalu dia mencari orang yang banyak ilmunya.
Maka, dia ditunjukkan kepada seorang rahib, lalu dia pergi menemuinya. Kemudian, dia mengatakan bahawa dia telah membunuh 99 nyawa, adakah taubatnya akan diterima? Kemudian rahib tersebut menjawab, tidak. Maka, dia membunuh rahib tersebut dan genaplah 100 orang (yang dibunuhnya) dengan pembunuhan rahib tersebut.
Kemudian dia mencari lagi orang yang banyak ilmunya, maka dia ditunjukkan kepada seorang pemuda alim. Maka, dia mengatakan bahawa dia telah membunuh 100 nyawa, adakah taubatnya akan diterima? Pemuda alim itu menjawab, ya. Dan siapakah yang menghalang antaranya dan taubat?

Monday, April 1, 2013

LUQMANUL HAKIM: MODEL TARBIYAH ISLAM


APABILA menyebut soal pendidikan anak-anak secara tidak langsung ia lebih tertumpu kepada tugas dan tanggungjawab ibu bapa. Untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang kamil tidaklah semudah yang diperkatakan dalam buku, majalah dan seminar.

Ia lebih menekankan soal keinsafan, kesedaran dan sikap tanggungjawab yang mendalam di samping mempunyai aqidah yang kental terhadap Allah SWT. Justeru itu, Allah SWT telah merakamkan beberapa keistimewaan yang dilakukan oleh Luqmanul Hakim sewaktu mendidik anak. Di antara nasihat Lukman kepada anaknya ialah:

1. Hendaklah engkau selalu berada di majlis para ulama' dan dengarlah kata-kata para hukama (orang yang bijaksana), kerana Allah menghidupkan jiwa yang mati dengan hikmat sepertimana menghidupkan bumi yang mati dengan hujan yang lebat.

2. Janganlah engkau jadi lebih lemah daripada seekor ayam jantan, ia telah berkokok pada waktu pagi hari sedangkan engkau pada ketika itu masih terbaring di atas katilmu.

3. Janganlah engkau menangguhkan taubat kepada Allah kerana mati itu akan datang tiba-tiba.

4. Dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak orang sudah ditenggelamkannya. Oleh itu, jadikanlah taqwa sebagai kapalnya.

5. Pukulan bapa ke atas anaknya bagaikan air menyirami tanaman.

6. Tiga orang yang tidak dapat dikenali melainkan pada tiga keadaan. Orang yang lemah lembut melainkan ketika marah, orang yang berani melainkan ketika berperang dan saudara maramu melainkan ketika engkau berhajat dan memerlukan pertolongan daripadanya.

7. Sesungguhnya dunia ini sedikit sahaja, sedangkan seluruh umurmu lebih sedikit daripada itu. Manakala umurmu yang masih berbakti lagi amat sedikit daripada yang lebih sedikit tadi.